Check out our New Health Advocates
Meet Ng Joe Yee
Marketing Executive @ Sym World Sdn Bhd [more]







Check out other activities
Sharing Centre: Sharing is caring & giving
     

Wellness
Fahami Penyakit Talasemia Demi Kesejahteraan Hidup Berkeluarga
Shared by
Sihat.my
7 Nov 2013 11:15AM
284 Sharing articles

 

TAHUKAH anda seorang daripada 20 orang rakyat Malaysia adalah pembawa penyakit Talasemia?


Talasemia merupakan penyakit kecacatan darah yang diwarisi di mana kecacatan gen hemoglobin (protein yang mengandungi zat besi) dalam sel darah merah menjadi tidak normal.


Ia mengakibatkan penghidap tidak dapat menghasilkan hemoglobin (Hb) yang mencukupi di dalam darah mereka yang menyebabkan pesakit kelihatan pucat akibat kekurangan sel darah merah yang normal (anemia).


Pesakit Talasemia juga tidak mampu untuk membekalkan seluruh sel tubuh badan mereka dengan oksigen yang mencukupi yang mengakibatkan tisu-tisu badan gagal berfungsi dengan baik seterusnya melemahkan tubuh badan, gagal berkembang dengan baik dan menyebabkan sakit teruk.


Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama akhbar Kumpulan See Hua (The Borneo Post, Utusan Borneo dan See Hua Daily News) menganjurkan Kempen Talasemia melibatkan 150 orang pelajar daripada tiga buah sekolah menengah iaitu SMK Lake Bau, SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab Matang dan SMK Bako bertujuan untuk menyebarkan maklumat mengenai penyakit Talasemia yang serius.


Kempen Talasemia ini dijalankan khususnya di negeri Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri ini mencatatkan paling ramai penghidap penyakit Talasemia dan ia disasarkan kepada para pelajar sekolah menengah yang semakin penyakit Talasemia dan cara-cara untuk membendungnya daripada merebak kepada keturunan mereka nanti.


Di samping ceramah, sesi kuiz yang menawarkan hadiah menarik turut diadakan bagi menggalakkan para pelajar untuk turut serta dalam perbincangan serta menguji pemahaman mereka mengenai penyakit Talasemia.


Menurut Dr Siti Khadijah, penganjuran Kempen Talasemia ini berperanan untuk menerangkan serta mengesan pembawa Talasemia terutamanya di kalangan para pelajar di sekolah menengah dan belia yang ingin berkahwin nanti.


“Penyakit Talasemia amat serius dan dianggarkan tiga sehingga lima peratus rakyat Malaysia merupakan pesakit Talasemia dan ramai yang meninggal dunia pada usia muda akibat tidak mampu untuk membiayai kos perubatannya serta komplikasi akibat penyakit tersebut.


“Oleh sebab itu, kempen ini amat penting supaya para pelajar dapat mengelakkan daripada peringkat awal mengenai pilihan pasangan pada masa akan datang bagi memastikan anak-anak mereka sihat daripada penyakit Talasemia,” jelas Dr Siti Khadijah.


Beliau yang merupakan penceramah utama turut menggalakkan orang ramai supaya menjalankan ujian saringan pembawa Talasemia supaya pihak kementerian dapat mengetahui jumlah sebenar pesakit dan pembawa Talasemia di negara ini.


Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menurunkan bilangan kelahiran bayi Talasemia di samping meningkatkan kualiti hidup pesakit Talasemia dengan memperkukuhkan rawatan bagi pesakit Talasemia melalui peruntukan sebanyak RM40 juta untuk membeli ubat ‘chelating agent’ bagi pesakit kanak-kanak selain menjalankan ujian saringan pembawa secara percuma.


Bagi pesakit Talasemia peringkat kritikal, mereka akan memerlukan pemindahan darah seumur hidup bagi mengekalkan tahap hemoglobin iaitu 10 gm% dan ke atas serta pengambilan ubat chelating agent untuk mengelakkan kesan sampingan pengumpulan zat besi yang mesti diambil setiap hari dalam dos yang tinggi.


Rawatan optima untuk setiap pesakit Talasemia adalah dianggarkan RM1,000 sebulan tidak termasuk pemindahan sel stem dan rawatan bagi komplikasi.


Siti Nuur Annafiah, pelajar tingkatan empat aliran sains di SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab Matang berkata, secara jujur ini merupakan kali pertama beliau serta rakan-rakan mendengar mengenai penyakit Talasemia dan berasa bertuah kerana diberi pendedahan awal mengenainya.


“Saya berpendapat kempen ini sangat berguna supaya para pelajar akan mengetahui kesan-kesan akibat penyakit ini serta cara untuk mencegahnya seperti melakukan ujian saringan pembawa Talasemia sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan kita nanti.”


“Kalau ada kelapangan, saya dan rakan-rakan akan ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani ujian saringan tersebut,” ujar Siti Nuur yang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar jantung.


Sementara itu Nur Nadzirah Nasir, 16, dari SMK Bako memberitahu, Kempen Talasemia ini amat berguna kerana ia memberi maklumat terperinci mengenai penyakit Talasemia.


“Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai penyakit Talasemia menerusi rancangan di televisyen dan kempen kesihatan seperti ini amat berguna diadakan di sekolah-sekolah bagi menyebarkan maklumat-maklumat seperti penyakit Talasemia yang serius,” kata Nur Nadzirah.


Pengetua SMK Bako Ibrahim Jamain turut menyokong pendapat pelajarnya mengenai penganjuran Kempen Talasemia di sekolah-sekolah dan berharap ia akan dijalankan secara berterusan dan menjadi salah satu daripada kalendar aktiviti di semua sekolah.


“Saya menghargai usaha sama Kementerian Kesihatan dan akhbar-akhbar Kumpulan See Hua kerana memilih SMK Bako sebagai salah satu destinasi untuk penganjuran Kempen Talasemia yang amat berguna kepada para pelajar supaya mereka sedar mengenai kesan-kesan akibat penyakit tersebut.


“Di samping itu, kempen ini juga merupakan satu pengukuhan kepada apa yang mereka pelajari di dalam kelas serta memberi kesedaran kepada mereka agar bersyukur kerana dilahirkan tanpa dijangkiti penyakit Talasemia,” jelas Ibrahim.


Kementerian Kesihatan berharap menerusi penganjuran Kempen Talasemia ini, ia akan menggalakkan orang ramai terutamanya di kalangan remaja untuk menjalani ujian saringan pembawa Talasemia kerana ia amat penting untuk memberi peluang kepada individu agar memilih pasangan yang bukan pembawa Talasemia bagi menjamin kesihatan anak-anak mereka nanti.


Ketahui status Talasemia anda dan jalani ujian saringan di klinik-klinik kesihatan yang berdekatan sekarang demi kesejahteraan hidup berkeluarga pada masa hadapan.




Text as reproduced from Utusan Borneo on 31st October 2013


Photo Credit to:
Utusan Borneo

 

tags: Kementerian Kesihatan Malaysia, School Activity