Check out other activities
Knowledge Centre: for Healthier Living
     

Wellness
Impak Hubungan Penyakit Tak Berjangkit
Contributed by
Dato' Seri Liow Tiong Lai
10 Oct 2011 6:18PM
22 Knowledge articles

Setiap kali saya melawat Institut Jantung Negara (IJN) atau hospital lain di mana pesakit yang menghidap penyakit kronik dirawat, saya berasa terharu melihat wajah sedih dan cemas ahli keluarga pesakit yang datang berkunjung.

Mereka kelihatan sentiasa berada tidak jauh di sisi katil pesakit, reda dan setia memikul tanggungjawab menemani dan menjaga orang yang dikasihi.

Walaupun hati tersentuh melihat hubungan keluarga kekal utuh pada saat menghadapi cabaran, saya terfikir mengenai kesan sebenar terhadap ahli keluarga pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, strok, diabetes dan kanser.

Penyakit ini yang juga dikenali sebagai penyakit tidak berjangkit (NCD), sekali menyerang, ia kekal sepanjang hayat dan memerlukan disiplin pengurusan ketat yang membabitkan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.

Contohnya, sekali diserang sakit jantung atau kencing manis, anda akan mengalaminya sepanjang hayat dan perlu berusaha keras mengurangkan risiko komplikasi seperti serangan jantung, sakit buah pinggang atau dipotong kaki.

Secara keseluruhan, semua penyakit tidak berjangkit membunuh paling ramai mangsa di seluruh dunia. Lebih kurang 60 peratus kematian tahunan di seluruh dunia berpunca daripada NCD, dan suku daripada jumlah kematian ini sebenarnya boleh dicegah.

Kita sering bercakap mengenai impak NCD ke atas pesakit, contohnya, risiko kematian dan komplikasi yang disebut di atas, beban kewangan membabitkan rawatan sepanjang hayat membeli ubat dan menjalani prosedur perubatan.

Pun begitu, penyakit kronik ini juga mempunyai impak teruk ke atas ahli keluarga. Biasanya kos rawatan perubatan ditanggung anak pesakit yang berusia lanjut. Dalam ketidakstabilan ekonomi global, perkara ini bukan mudah memandangkan ia turut menjejaskan perbelanjaan sara hidup keluarga dan belanja pendidikan anak.

Selain beban kewangan, suami atau isteri, anak atau adik-beradik lain perlu bersedia menerima tanggungjawab untuk menjaga dan menemani pesakit dan tugas ini memerlukan seluruh tenaga dari segi fizikal, mental dan emosi.

Orang yang menjaga dan menemani pesakit perlu sentiasa mengutamakan keperluan pesakit dan ia adalah tugas sepenuh masa yang penuh cabaran dan dilakukan dengan kesabaran dan kasih sayang untuk pesakit.

Antara kesan paling kerap dialami orang menjaga pesakit ialah kehabisan tenaga akibat sentiasa dihimpit stres, cemas dan kelesuan. Ramai mengalami tekanan melihat orang disayangi menderita sakit dengan keperluan supaya tabah untuk pesakit dan berasa bersalah kerana terpaksa mengabaikan tugas atau tanggungjawab lain serta cuba mendapatkan bantuan untuk diri sendiri.

Kebanyakan daripada mereka ini biasanya mengabaikan kesihatan fizikal dan mental sendiri, selain kebahagiaan mereka. Mereka mengalami kelesuan, mudah marah, tekanan perasaan dan mula kehilangan daya untuk menjaga orang lain.

Lama-kelamaan tekanan ini akan sampai ke tahap yang boleh mencetuskan kemarahan dan ketegangan antara orang yang menjaga pesakit dengan ahli keluarga yang tidak menanggung beban tanggungjawab itu. Saya pernah melihat bagaimana kehadiran penyakit kronik dalam keluarga menyebabkan hubungan menjadi renggang, sama ada antara anak pesakit atau adik-beradik.

Saya juga amat prihatin melihat trend bahawa golongan berusia lanjut kini hanya mampu bergantung kepada rangkaian sokongan yang kecil.

Kajian Asian MALES (Sikap Lelaki Terhadap Peristiwa dalam Kehidupan dan Seksualiti) 2005 yang dijalankan di Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia mendapati majoriti lelaki dalam kajian itu (85 peratus) memberitahu bahawa mereka dijaga oleh pasangan isteri bila sakit.

Hanya minoriti kecil saja dijaga oleh anak mereka (7.7 peratus), adik-beradik (2 peratus) atau sanak saudara, sahabat handai atau cucu. Penemuan ini menimbulkan kebimbangan kerana ia membangkitkan persoalan siapakah yang akan menjadi penjaga utama apabila lelaki itu kehilangan pasangan hidup mereka.

Sekiranya bukan anak pesakit yang menjaga mereka – seperti tanggapan saya sebelum ini – kita akan menghadapi masalah peningkatan bilangan penduduk lanjut usia yang akan bergantung kepada khidmat kebajikan masyarakat atau institusi.

Kita juga mungkin menghadapi masalah peningkatan bilangan penduduk usia muda yang menjadi mangsa NCD memandangkan semakin ramai penduduk dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an didiagonis penyakit seperti hipertensi, obesiti dan diabetes.

Malah ada juga lelaki dan wanita dalam lingkungan usia ini yang mati akibat sakit jantung dan kanser dengan meninggalkan anak kecil.

Adakah kita akan terus membiarkan NCD memusnahkan keluarga tanpa sebarang tindakan? Malaysia sendiri kini melaporkan trend peningkatan faktor risiko NCD seperti berat badan berlebihan (hampir 30 peratus penduduk Malaysia) dan obesiti (14 peratus), dan kolesterol tinggi (20 peratus).

Begitupun, faktor risiko ini boleh dikurangkan yang menjurus kepada pencegahan lebih kurang 80 peratus penyakit jantung, strok dan diabetes, di samping satu pertiga penyakit kanser.

Kerajaan melakukan sedaya upaya menerusi campur tangan dasar, rawatan klinikal, penyelidikan dan kempen kesihatan, namun semuanya terpulang pada sikap dan perangai individu. 

Anda perlu menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan hidup. Jika anda sayangkan keluarga anda, jangan biarkan mereka menderita kerana anda. 


Additional photos from public domain may have been added solely for illustration purpose.

Photo Credit to:
First photo by www.liowtionglai.com

tags: Kementerian Kesihatan Malaysia, Move More, Eat Right